top of page

Latar Belakang Kampung Semban, BRS


Permandangan Kawasan Perkampungan


Kampung Semban (Embhan) telah mula wujud kira-kira 300 tahun dahulu iaitu antara kampung Bidayuh yang agak tertua yang diketuai oleh Tua Kampung No'wong Ak Nyedap tetapi penduduknya mula berpindah ke Rejoi pada tahun 1969 dan menjadi sebuah perkampungan yang sah pada tahun 1976 di mana Kampung Semban hanya ada 24 pintu dan Kampung Rejoi hanya belasan pintu sahaja. Namun begitu, penempatan tersebut tidak kekal lama kerana pada tahun 1988 Kampung Semban mula berpindah lagi ke tapak petempatan tanah baru yang disebut atau dinamakan sebagai 'Teleg' dan jumlah penduduk mula meningkat ke 300 orang iaitu 32 jumlah pintu dan jawatan ketua kampung juga telah diberikan kepada Ketua Kampung Titeng Ak Upet. Pada tahun 2005 ketua kampung meninggal dunia dan jawatan menjadi ketua kampung diserahkan kepada ketua kampung baru iaitu Encik Bujus Ak Kian sehingga September 2018. Perpindahan ini berlaku disebabkan oleh kekurangan air bersih, pertapakkan untuk membuat rumah baru juga tidak ada di kawasan tersebut dan kawasan perkampungan ketika itu juga tercemar disebabkan pembuangan sampah yang merata-rata.


Menurut ketua kampung yang baru iaitu Encik Sagen Ak Adan yang mula menjawat jawatan ketua kampung pada tahun 2019, setelah bertahun-tahun penduduk Kampung Semban tinggal di 'Teleg' iaitu perkampungan yang terletak di kawasan pergunungan yang jauh dari bandar, Disember 2013 penduduk Kampung Semban sebanyak 59 pintu keseluruhannya telah mula berpindah ke penempatan baru yang melibatkan empat buah kampung iaitu Kampung Semban, Kampung Rejoi, Kampung Taba Sait dan Kampung Pain Bojong. Empat buah kampung tersebut dipindahkan kerana pelaksanaan kerajaan terhadap Empangan Bengoh Dam dan keempat-empat perkampungan tersebut dipindahkan ke Bengoh Resettlement Scheme (BRS). Terdapat 204 buah rumah telah disediakan di BRS tetapi sebanyak 47 penduduk Kampung Rejoi, Kampung Pain Bojong dan Kampung Taba tidak ikut berpindah atas sebab tertentu.


BRS juga dikenali sebuah Rumah Mesra Rakyat di mana rumah-rumah tersebut dibahagi kepada empat seksyen mengikut kampung-kampung tersebut bermula dengan Kampung Semban yang terletak pada bahagian jalan utama diikuti Kampung Rejoi, Kampung Pain Bojong dan Kampung Taba Sait. Penduduk kampung juga diberikan lot tanah untuk penanaman seperti padi, lada, dan sebagainya untuk mereka bercucuk tanam dan kawasan halaman rumah mereka juga dijadikan kawasan untuk berkebun. Majoriti dalam keempat-empat kampung tersebut adalah etnik Bidayuh dan hanya sebuah keluarga sahaja di Kampung Taba Sait ialah orang Melayu. Begitu juga dengan penduduk Kampung Semban di mana keseluruhan penduduknya ialah kaum Bidayuh, Semban.






















Penduduk Kampung Semban, BRS






Comments


bottom of page