Kaum Bidayuh
Menurut (Rumadi, 2021) Sarawak mempunyai pelbagai suku kaum seperti kaum Bidayuh salah satu suku kaum dalam puluhan kaum yang mendiami bumi kenyalang negeri Sarawak ini. Pada asalnya Bidayuh, 'Bi' bermaksud orang manakala 'Dayuh' bermaksud darat dan secara dasarnya bidayuh itu adalah orang darat seperti yang disebut oleh orang Eropah ketika zaman dahulu bagi membezakan orang Bidayuh dengan masyarakat Iban (Dayak Laut) kerana pada ketika dulu masyarakat Iban sudah mahir menggunakan perahu.
Kaum Bidayuh adalah masyarakat yang mendiami kawasan Barat Daya Sarawak, terutamanya Bahagian Serian, Kuching dan di Barat Kalimantan. Pada ketika dahulu masyarakat Bidayuh telah mendiami rumah panjang yang terletak di kawasan yang tinggi di pedalaman. Ini bagi mengelakkan dikesan oleh musuh demi keselamatan mereka. Struktur rumah panjang bagi etnik Bidayuh juga berbeza dari masyarakat Iban di mana masyarakat Bidayuh menggunakan daun rumbia atau sagu untuk membuat atap rumah dan dinding pula menggunakan buluh kemudian lantai rumah diperbuat daripada papan atau buluh serta kayu berlian untuk tiang rumah. Secara lazimnya, rumah panjang kaum Bidayuh terdiri daripada tiga bahagian iaitu bilik utama, ‘awah’ (beranda) dan ‘tanju’ tempat untuk menuai padi, sidai pakaian atau tempat untuk mengeringkan barang dan sebagainya. Kebiasaanya pula dalam bilik kaum Bidayuh akan menyimpan barang berharga mereka seperti gong, tempayan, tembikar dan banyak lagi Lundu Homestay (2018).
Oleh itu, terdapat empat pecahan etnik bagi kaum Bidayuh iaitu Selakau/Lara (Daerah Lundu), Jagoi/Singai (Daerah Bau), Biatah (Daerah Kecil Padawan) dan Bukar/Sadong (Daerah Serian). Selakau atau Lara yang terdapat di Daerah Lundu ialah populasi etnik yang dikesan berasal dari Kalimantan Barat dan ramai menetap di kampung-kampung daerah Lundu Kuching pada tahun 1988 serta jumlahnya amat besar dalam sekitar 5,000 orang Borneo Oracle (2013). Di Daerah Bau pula terdapat dua sub etnik Bidayuh iaitu Bijagoi dan Bisingai di mana Bijagoi berasal dari Gunung Bratak, iaitu tempat asal masyarakat Bidayuh yang bermigrasi dari Sungkung, Kalimantan Barat dan Bisingai mendapat nama dari Panglima Ma Ganai @ Rangai, iaitu Panglima (Togung) yang memimpin pengikutnya dari Sungkung ke Gunung Singai. Terdapat lima kumpulan Bidayuh yang terdapat di Bau seperti Singai, Jagoi atau Bratak, Serembu (Birois), Gumbang dan Tringgus. Menurut (Sarok & Shamat, n.d.) bagi Daerah Kecil Padawan pula ialah etnik Bidayuh Biatah yang dipercayai nama yang berasal dari nama salah seorang keturunan Tenabi iaitu lelaki pertama Dayak Darat yang mendiami Pulau Borneo yang digelar ‘Atah’. Setelah itu, keturunan ‘Atah’ menggelar diri mereka sebagai ‘Bi Atah’ dan gelaran itu kekal sebagai Biatah. Seterusnya, sub etnik yang terbesar pula ialah Bukar-Sadong di mana Bidayuh Bukar dan Sadong merupakan dua kumpulan yang berlainan tetapi tinggal dalam daerah yang sama, iaitu Serian. Bibukar tinggal berhampiran dengan Batang Samaharan ketika dahulu, nenek moyang mereka bermigrasi dari Sungkung atau Bugau dan seterusnya ke Tembawang Rutoi. Bidayuh Bukar-Sadong terdiri daripada kumpulan sub etnik yang banyak iaitu Bukar, Sambat, Mentu, Sumpas, Temong, Taup, Engkeroh, Riih, Gahat (Semabang), Suntas, Kujang, Prangkan, Sangai, Daha dan Tepoi (bukan asal dari Serian tetapi berasal dari Biannah di Padawan).
Comments